Tuesday, April 1, 2014

Kisah Saidina Umar Dengan Seorang Lelaki

"Seorang lelaki yang mengunjungi Saidina Umar bin Al-Khattab untuk mengadu mengenai perangai isterinya. Dia berdiri di luar pintu menunggu Saidina Umar keluar.

Tiba-tiba dia terdengar isteri Saidina Umar sedang meleterinya, sedangkan Saidina Umar diam tidak menjawab walau sepatah pun.

Lelaki itu beredar sambil berkata kepada dirinya sendiri:
"Kalau beginilah keadaan 
Saidina Umar, seorang Amirulmukminin yang selalu keras dan tegas, maka bagaimana dengan aku?"

Selepas itu Saidina Umar keluar dari rumahnya dan melihat lelaki tadi beredar.
Umar memanggilnya dan bertanya tujuan kedatangannya.

Lelaki itu berkata :
"Wahai Amirulmukminin, aku datang untuk mengadu mengenai perangai isteriku yang buruk dan suka berleter kepadaku.


Tadi aku mendengar isteri anda pun begitu juga. Lalu aku berkata kepada diriku :
"Kalau begini keadaan Amirulmukminin dengan isterinya, maka bagaimana dengan aku?"


Saidina Umar berkata kepadanya :
"Wahai saudaraku, sesungguhnya aku bersabar mendengar leterannya kerana dia mempunyai hak ke atas aku.
Sesungguhnya dia memasak makanan aku, mengadun roti untuk aku, membasuh pakaian aku dan menyusui anakku, padahal semua itu tidak diwajibkan keatasnya.

Dia juga menenangkan hatiku daripada melakukan perbuatan yang haram (Zina). Sebab itulah aku bersabar dengan kerenahnya"

Lelaki itu menjawab :
"Wahai Amirulmukminin, demikian jugalah isteriku."


Saidina Umar pun berkata kepadanya:
"Maka bersabarlah wahai saudaraku. Sesungguhnya kerenahnya itu tidak lama, hanya seketika saja."